KPKT komited naik taraf pembangunan bandaran

KPKT komited naik taraf pembangunan bandaran

SAMBUTAN Hari Habitat Sedunia Peringkat Kebangsaan (SHHS 2022) bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai petempatan manusia dan hak setiap individu memiliki tempat tinggal yang selamat, kondusif dan berdaya huni.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata, sambutan itu merupakan acara kemuncak tahunan sempena SHHS pada 3 Oktober di seluruh dunia.

“KPKT sebagai National Focal Point bertanggungjawab menyelaras aktiviti UN-Habitat di Malaysia sejak tahun 1985,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

KPKT berkata, sambutan SHHS 2022 kali ini bertemakan ‘Mind the Gap. Leave No One and Place Behind atau ‘Rapatkan Jurang Tiada Sesiapa mahupun Tempat yang Ketinggalan’.

Katanya, tema sambutan itu dalam usaha menggesa agar penggerak pembangunan bandar terutamanya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengambil tindakan sewajarnya bagi merapatkan jurang antara golongan berpendapatan tinggi dan mereka yang kurang bernasib baik.

KPKT sebagai National Focal Point bertanggungjawab menyelaras aktiviti UN-Habitat di Malaysia sejak tahun 1985.

Tambahnya, ianya adalah kesan daripada krisis 3C yang melanda dunia iaitu ‘Covid-19, Climate and Conflict’.

“Pembangunan perbandaran perlu menawarkan peluang sama rata kepada semua penduduk bagi mendapat akses kepada perkhidmatan asas, tenaga, pengangkutan, perumahan dan kawasan lapang awam.

“Namun, ia juga hendaklah mengurangkan penggunaan sumber serta kesan terhadap alam sekitar.

“Berdasarkan Laporan Bandar Dunia ole UN-Habitat, pada tahun 2020 dianggarkan antara 119 juta hingga 124 juta masyarakat dunia terjejas akibat krisis 3C ini. Manakala pada tahun 2021, berlaku peningkatan di antara 143 juta hingga 163 juta golongan terkesan,” katanya lagi.

Sementara itu, KPKT berkata statistik itu dijangka akan terus meningkat dan memberi impak negatif dari sudut sosio-ekonomi, kesihatan mental dan fizikal sekiranya tiada intervensi dilaksanakan bagi menangani situasi tersebut.

Justeru, katanya, adalah menjadi tanggungjawab semua untuk menjadikan bandar dan kawasan tempat tinggal di Malaysia bersifat inklusif, berdaya tahan, selamat dan lestari.

Antara aktiviti dan program yang telah dilaksanakan KPKT sebagai pengisian SHHS 2022 adalah Dialog Hari Habitat di Malaysia Urban Forum 2022 (MUF 2022); Jalinan Mesa PR1MA bersama Warga Emas dan OKU (Orang Kelainan Upaya) di Persatuan Orang Buta Malaysia, Brickfields.

Turut dilaksanakan Anugerah National Scroll of Honour For Human Settlements 2022; Pertandingan Photojournalism; Pertandingan Video Pendek peringkat Institusi Pengajian Tinggi; Pertandingan Debat ala parlimen Peringkat Sekolah Menengah; Pertandingan Bercerita Peringkat Sekolah Rendah Tahap 2 (Secara Rakaman Video); dan Aktiviti Beriadah Sambil Plogging di Taman Putra Perdana.

Selain itu, Program Pemerkasaan Pendigitalan Perkhidmatan PBT Kepada Komuniti dan Program Jalinan Kasih SPNB bersama anak yatim turut diadakan bagi memeriahkan sambutan SHHS 2022.

“KPKT terus komited meningkatkan kesedaran secara berterusan tentang kepentingan dalam menangani perubahan iklim, terutamanya melalui pelaksanaan inisiatif rendah karbon atau pengurangan pelepasan gas rumah hijau (GHG)

“..bagi memastikan bumi serta keindahan alam semula jadi kita akan kekal dinikmati oleh generasi seterusnya,” katanya.

Dalam masa sama, hasrat tersebut selaras dengan fokus KPKT iaitu mengangkat agenda “Liveable Malaysia” atau Malaysia Berdaya Huni dalam menjayakan pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). – Malaysiapost

Komen