Krisis bekalan telur dijangka pulih 2 bulan lagi

Krisis bekalan telur dijangka pulih 2 bulan lagi

PASUKAN Khas Jihad Tangani Inflasi memberi jaminan bekalan telur seluruh negara dijangka kembali pulih dalam tempoh dua bulan.

Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa, berkata beliau menasihatkan penternak ayam supaya meningkatkan pengeluaran telur berbanding menjual ayam.

Katanya, ia selaras dengan pengumuman subsidi baharu yang dijangka dapat membantu mereka daripada terus menanggung kerugian.

“Kita akan berusaha memastikan bekalan telur sentiasa ada dan harga tidak meningkat terutama dekali semasa musim perayaan, banjir dan sebagainya.

“Pemain industri juga telah dinasihatkan agar tidak sembelih ayam terlalu awal supaya ia dapat bertelur.

“Saya juga merayu kepada sesetengah pihak agar tidak menyeludup telur ke negara jiran,” katanya seperti dilapor MalaysiaGazette.

Annuar berkata, kerajaan memutuskan untuk meneruskan pemberian subsidi kepada penternak ayam dan pengeluar telur ayam bermula Oktober hingga akhir tahun ini membabitkan kadar 80 sen bagi sekilogram ayam, manakala lapan sen bagi sebiji telur.

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira harga siling kedua-dua bahan mentah berkenaan.

Sebelum ini, Annuar mendedahkan kegiatan penyeludupan telur khususnya dari Kelantan ke Thailand menjadi antara punca utama berlakunya kekurangan bekalan telur di dalam negara.

Terdahulu, media melaporkan, penutupan beberapa ladang kecil yang menyumbang lebih kurang dua juta biji telur sehari, dikenal pasti sebagai punca kekurangan bekalan telur ketika ini.

Operasi ladang kecil itu terpaksa ditutup sementara, antara lain disebabkan kos operasi yang meningkat, kawalan harga oleh kerajaan dan pemberian subsidi tidak dapat menampung kerugian dialami penternak. – Malaysiapost

Komen