Manifesto BN bukan janji kosong – Ahmad Maslan
BARISAN Nasional (BN) mahu menawarkan penyelesaian menyeluruh terhadap isu rakyat yang mendesak dengan menjanjikan manifesto yang realistik, kata Datuk Seri Ahmad Maslan.
Setiausaha Agung Umno itu juga menyifatkan Perancangan Amal dan Usaha BN untuk Malaysia (PADU) adalah sebuah pelan yang serius dan rasional serta mempunyai sasaran jelas untuk manfaat semua.
“Selain Presiden Umno, Naib Presiden, saya dan beberapa tokoh lain turut terlibat dalam penyediaan manifesto ini.
“Perdana Menteri dan Menteri Kewangan juga turut terlibat agar dana peruntukan mencukupi supaya manifesto ini boleh dilaksanakan,” katanya.
Semalam, BN mengumumkan PADU sebagai tawaran untuk rakyat bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menurut Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, PADU ialah tawaran baharu yang segar daripada BN kepada rakyat Malaysia.
Beliau berkata, PADU ialah pelan yang serius dan rasional, mempunyai sasaran yang jelas dan pelan yang BN akan amal dan usahakan dengan sebaiknya demi kemaslahatan semua.
Sementara itu, Ahmad menafikan dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan Manifesto BN tidak relevan dan hanya sekadar janji kosong.
“Tidak akan timbul janji kosong atau manifesto bukan kitab suci kerana PADU berdasar keupayaan kewangan kerajaan.
“99 inisiatif PADU sangat komprehensif mencukupi semua lapisan masyarakat.” katanya. – Malaysiapost