Negeri ditadbir makmur, harmoni bukti PAS tak tindas kaum lain – Hadi

Negeri ditadbir makmur, harmoni bukti PAS tak tindas kaum lain – Hadi

KEHARMONIAN dan kemakmuran yang dapat disaksikan di bawah negeri pentadbiran PAS ketika ini membuktikan parti itu tidak pernah menindas kaum lain, kata Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Presiden PAS itu berkata, PAS berpegang terhadap ajaran Islam yang menegaskan tiada paksaan dalam beragama termasuk berlaku adil terhadap penganut agama lain.

“Justeru, kita hendaklah bersatu tanpa mengira Melayu, Cina mahupun India, untuk menyelamatkan negara ini daripada situasi politik yang membahayakan akibat daripada kalangan yang gila kuasa,” katanya menerusi hantaran ringkas di Facebook.

Jelas Abdul Hadi lagi, Allah SWT menyebut dalam Surah al-Nisa’ bahawa manusia ialah satu keluarga daripada ayah dan ibu yang sama, dan dicipta untuk saling berkenalan dan saling membantu.

“Islam ditafsirkan dengan makna al-din yang menjelaskan ia sebagai satu sistem kehidupan yang lengkap, bukanlah semata-mata ajaran yang bersifat ritual seperti ibadat seperti maksud ‘religion’ dalam bahasa Inggeris.

“Islam bersifat menyeluruh dan adil, termasuklah kepada penganut bukan Islam,” katanya. – Malaysiapost

Komen