Pemilihan Ismail Sabri sebagai calon PM adalah muktamad

Pemilihan Ismail Sabri sebagai calon PM adalah muktamad

PEMILIHAN Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah muktamad dan tidak perlu dipolemikkan.

Calon BN bagi Parlimen Bachok, Datuk Mohd Zain Yassim, berkata Umno telah membuat ketetapan berkenaan dan ia adalah muktamad.

Bahkan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri telah mengumumkan perkara itu.

“Ini soal muktamad, kita bukan saja buat (keputusan) dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, malah mesyuarat agong khas pindaan perlembagaan baru- baru ini.

“(Mesyuarat) sebulat suara memperakui Ismail Sabri sebagai ‘poster boy’ dan calon PM pada pilihan raya. Tidak ada isu lagi,” katanya kepada Malaysiapost.

Mohd Zain mengulas dakwaan pembangkang bahawa Ahmad Zahid akan menjadi Perdana Menteri jika BN kembali berkuasa.

Pada 5 November lalu, Ismail Sabri berkata beliau masih kekal menjadi ‘poster boy’ BN dalam PRU-15 kali ini.

Perdana Menteri berkata, setakat ini ketetapan itu masih tidak berubah dan kekal seperti diputuskan MKT Umno selain disokong 156 Bahagian Umno dalam Perhimpunan Agung Umno (Pau) sebelum ini.- Malaysiapost

Komen