Permintaan kondom pulih, prospek perniagaan Karex melonjak
PROPEK masa depan Karex Bhd positif susulan pemulihan permintaan bagi kondom, persekitaran operasi lebih baik dan pelancaran produk baharu.
Pengeluar kondom itu dijangka mencatat margin lebih baik dengan memanfaatkan kelemahan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), skala ekonomi yang tinggi dan kos operasi rendah, demikian menurut CGS-CIMB.
Penganalisisnya, Walter AW, berkata persekitaran operasi mula memihak kepada Karex selepas berdepan mampatan margin sejak suku kedua tahun kewangan 2021 berikutan persekitaran operasi yang tidak menguntungkan.
Bagaimanapun katanya, keadaan itu dilihat berubah dan persekitaran operasi mula memihak Karex dengan komponen kos utama seperti kadar fret, minyak silikon dan bahan pembungkusan berkurangan.
“Karex juga dijangka mendapat manfaat daripada kelemahan ringgit berbanding dolar AS kerana 98 peratus pendapatannya adalah daripada eksport.
“Ini dijangka memberi petanda baik untuk margin Karex, yang kami percaya akan dikembangkan dengan peningkatan purata harga jualan (ASP) dan kos asas yang lebih rendah,” katanya memetik Berita Harian.
Mengenai permintaan terhadap kondom, Walter berkata, Karex telah menyaksikan pemulihan kukuh dalam permintaan global untuk kondom berikutan pelonggaran langkah sekatan atau kawalan pergerakan di seluruh dunia.
Beliau berkata, Karex menganggarkan penggunaan kondom secara global menurun sehingga 40 peratus semasa tempoh Covid-19 iaitu pada separuh pertama 2020 sehingga separuh pertama 2022.
Selain itu, katanya, pengeluar kondom itu kekal meraih manfaat daripada persaingan lebih rendah dengan penutupan beberapa kilang kondom secara global dua tahun lalu semasa pandemik.
“Kami berpendapat Karex telah menyaksikan peningkatan pesanan, terutama daripada pelanggan dalam segmen tender, yang kami fikir adalah terutamanya daripada organisasi kerajaan dan bukan kerajaan, memandangkan penyambungan semula tumpuan ke arah memerangi HIV dengan memulakan semula program pengedaran kondom,” katanya. – Malaysiapost