PRU15: PADU bukan janji kosong BN – Ka Siong
PERANCANGAN Amal dan Usaha Barisan Nasional (PADU) yang menjadi manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) disifatkan sebagai tawaran terbaik yang pragmatik untuk rakyat Malaysia.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata PADU adalah tawaran BN yang bersifat realisitik untuk dilaksanakan dan perkara itu turut diakui oleh penganalisis politik.
“Inilah tawaran BN, yang merangkumi segala aspek bagi menjaga kepentingan rakyat dan negara bagi tempoh lima tahun akan datang.
“Tiada yang terkecuali, semua pihak dan masyarakat berbilang kaum akan mendapat manfaat, termasuklah orang muda, wanita, serta rakyat Sabah dan Sarawak,” katanya menerusi Facebook.
Ka Siong berkata, PADU yang menggariskan 99 usaha itu dirangka pelbagai pihak termasuk MCA, menyumbang idea dan memberi penumpuan terhadap usaha merancakkan ekonomi, pemerkasaan pendidikan dan kepentingan masyarakat Cina.
“BN amat mementingkan pertumbuhan ekonomi, menggandakan kemasukan Pelaburan Langsung Asing (FDI), kos sara hidup, kecukupan makanan dan pendidikan.
“Apa yang paling penting, PADU bukanlah sekadar janji kosong semata-mata, bukan juga tentang pemansuhan dan pengurangan tanggungjawab.
“Sebaliknya, PADU merupakan pelan rasional dan serius demi kepentingan rakyat serta negara Malaysia,” katanya.
Semalam, BN mengumumkan tawaran baharu iaitu PADU yang mengariskan 99 usaha menjadi panduan dalam mengemudi tanah air ini menjadi negara berkemajuan tinggi.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, PADU merupakan tawaran baharu yang segar atau daripada BN kepada rakyat Malaysia yang tidak sekadar janji-janji manis.
Justeru, katanya, kewujudkan kestabilan politik dengan membentuk sebuah kerajaan yang kuat dan menguruskan Malaysia agar menjadi sejahtera dan makmur merupakan dua keutamaan BN jika diberikan mandat dalam PRU15. – Malaysiapost