PRU15: Penjawat awam dapat gaji awal, cuti khas?

PRU15: Penjawat awam dapat gaji awal, cuti khas?

PENJAWAT awam kemungkinan diberi cuti khas dan gaji lebih awal sebagai inisiatif kerajaan bagi membolehkan mereka pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, kerajaan telah memikirkan pelbagai inisiatif bagi memberi kemudahan kepada pengundi yang bakal diumumkan dalam masa terdekat.

“Kita kaji (kemudahan kepada pengundi) daripada mula bubar Parlimen dan sudah bincang perkara itu cuma ‘timing’, InsyaAllah ada pengumuman, mungkin banyak lagi.

“Kita tunggulah jika ada pengumuman daripada saya,” katanya dalam sidang akhbar selepas Kenduri Kampung Bersama Penduduk Kampung Bohor Baru di pekarangan Dewan Orang Ramai Kampung Bohor Baru, hari ini.

Beliau mengulas kekangan masa pengundi untuk pulang ke kampung untuk mengundi serta kekangan kewangan apabila gaji belum diterima sebelum tarikh pengundian.

Hari ini, sebuah akhbar tempatan melaporkan warga Malaysia yang bekerja di Singapura terutama mereka yang berasal dari negeri-negeri di Pantai Timur dan Utara tanah air dijangka tidak pulang untuk mengundi pada PRU15 ini.

Alasan yang diberikan, kekangan kerja seperti tidak dapat cuti selain faktor kewangan serta tempoh masa melibatkan perjalanan yang jauh dengan cuti singkat hanya sehari.

Semalam, CUEPACS menggesa kerajaan memberi cuti umum khas sehari, sebelum hari mengundi pada 18 November ini bagi membolehkan seluruh rakyat Malaysia mempunyai tempoh masa yang cukup pulang ke kampung bagi membuang undi.

Presidennya, Datuk Adnan Mat, dilapor berkata cuti umum tambahan sehari lebih awal itu wajar diberikan memandangkan ramai rakyat Malaysia yang mengundi bukan di lokasi mereka bekerja dan tinggal.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November ini sebagai hari mengundi. – Malaysiapost

Komen