PRU15: Perlis larang kempen di masjid, surau

PRU15: Perlis larang kempen di masjid, surau

JABATAN Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) melarang mana-mana calon parti politik berkempen di masjid dan surau negeri itu sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Malah, Pengarahnya, Najmuddin Abdul Karim menegaskan tiada bendera parti, poster kempen dibenarkan dipasang di sekitar kawasan masjid termasuk dilarang mengedarkan risalah berkaitan politik kepada anak-anak kariah.

Bagaimanapun, beliau berkata, calon atau wakil calon dibenarkan hadir ke masjid dan surau untuk tujuan beribadah bagi menjaga kemaslahatan dalam kalangan jemaah.

“Calon atau wakil calon tidak boleh berkempen di premis masjid dan surau bermula 5 hingga 19 November ini.

“Pihak masjid juga perlu memastikan apa-apa berkaitan dengan politik seperti bendera parti dan poster calon tidak boleh digantung di sekitar kawasan pagar masjid selain tidak membenarkan pengedaran risalah politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, JAIPs boleh mengenakan tindakan undang-undang terhadap calon atau wakil calon yang melanggar arahan berkenaan.

“Sekiranya mereka berkempen di luar daripada premis, pihak jabatan tidak bertanggungjawab atas sebarang tindakan dilakukan,” katanya. – Malaysiapost

Komen