PRU15: PN yakin mampu rampas Perlis – Abdul Hadi

PRU15: PN yakin mampu rampas Perlis – Abdul Hadi

PERIKATAN Nasional (PN) yakin mampu mengambil alih Kerajaan Perlis daripada Umno dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Timbalan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata keyakinan itu berdasarkan sandaran calon PN di Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mempunyai pengaruh yang kuat di negeri berkenaan.

“Shahidan, beliau ada pengaruh di Perlis. InsyaAllah kena dengan cara kita akan dapat mengambil Perlis selepas Kelantan, Terengganu dan Kedah.

“Kita boleh ambil Perlis. InsyaAllah tambah lagi satu negeri di bawah pemerintahan kita dan berharap perkara ini akan berlaku dan menjadi satu titik perubahan yang baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Ceramah Perdana Jelajah Presiden PAS di Tawang, Bachok, Kelantan malam tadi.

Presiden PAS itu berkata, Shahidan dan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib dipilih sebagai calon PN masing-masing bertanding di kerusi Arau serta Maran pada PRU15.

“Mereka tidak tercalon sebagai calon Barisan Nasional (BN) kerana dicantas disebabkan tidak bersetuju dengan cara pemimpin mereka.

“Kedua-dua mereka ini sanggup bertanding atas simbol kita. Calon kita juga sanggup berundur daripada bertanding untuk memberi laluan kepada dua calon ini,” katanya.

Terdahulu, Shahidan yang juga penyandang kerusi Parlimen Arau, bertanding atas tiket PN bagi mempertahankan kawasan itu pada PRU15.

Selain Shahidan, Ismail yang juga penyandang kerusi Parlimen Maran, yang turut digugurkan BN, juga diumumkan mewakili PN bertanding mempertahankan kerusi itu. – Malaysiapost

Komen