PRU15: Zahid yakin pengundi Bagan Datuk kekal bersama BN
PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan keyakinan pengundi Bagan Datuk akan tetap bersama Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Beliau yang juga calon BN di Parlimen berkenaan berkata, ini kerana gabungan itu mempertaruhkan anak tempatan berbanding calon parti lain yang ‘tiba-tiba’ hadir untuk menawarkan diri berkhidmat kepada rakyat Bagan Datuk.
“Saya tetap yakin orang Bagan Datuk akan terus memilih calon BN anak tempatan yang telah lama menabur jasa kepada mereka berbanding calon-calon lain yang baru muncul menawarkan diri mewakili mereka kali ini,” katanya menerusi Facebook.
Terdahulu, beliau turun berkempen di Pasar Malam Hutan Melintang untuk bertemu warga Bagan Datuk bersama calon BN DUN berkenaan, Datuk Khairuddin Tarmizi, petang semalam.
“Saya sempat bertemu Calon P075 (Bagan Datuk) dari Perikatan Nasional turut berkempen di lokasi yang sama.
“Alhamdulillah, kempen berjalan dengan baik di sini mengikut semangat demokrasi tanpa sebarang kekecohan antara penyokong parti-parti yang bertanding,” katanya.
Ahmad Zahid bakal berdepan saingan empat penjuru bagi merebut kerusi Parlimen Bagan Datuk pada PRU15, 19 November ini.
Beliau yang juga penyandang kerusi berkenaan untuk tempoh lima penggal akan berdepan saingan calon PN, Dr Muhammad Faiz Na’aman dan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dari Pakatan Harapan (PH).
Pada PRU14 lalu, Ahmad Zahid menewaskan Pakhrurrazi Arshad (PKR) dan Ata Abdul Muneim Hasan Adli (Pas) dengan majoriti 5,073 undi. – Malaysiapost