Rakyat perlu undi PN untuk selamatkan negara – Muhyiddin

Rakyat perlu undi PN untuk selamatkan negara – Muhyiddin

TAN Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan 234 tawaran Perikatan Nasional (PN) akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun jika PN diberi mandat untuk membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi PN itu berkata, tawaran PN adalah menolak rasuah dalam pentadbiran selaras janji gabungan tersebut dalam salah satu tunjang tawaran iaitu memastikan tadbir urus yang baik.

“Antara tawaran utama PN adalah memperkasa Felda dan membantu golongan miskin termasuk penoreh getah dengan menetapkan harga lantai getah yang munasabah dan berpatutan.

“Jika PN menang, kita akan membentuk satu jawatankuasa khas dan bebas untuk memastikan semua yang kita janjikan ditunaikan.

“Sama-samalah kita berdoa agar dalam masa dua minggu ini akan ada gelombang kebangkitan untuk membersihkan negara ini daripada segala kekotoran dan kebobrokan,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Muhyiddin berkata, usaha untuk memulihkan negara masih belum tercapai dan rakyat tidak boleh membenarkan Malaysia diperintah semula oleh mereka yang tidak amanah dan mengamalkan rasuah.

Penyandang kerusi Parlimen Pagoh itu turut berbesar hati dengan sokongan rakyat Kedah yang hadir ke kempen PN calon parlimen Pendang malam tadi.

Muhyiddin Yassin hadir ke Kedah bagi kempen PN untuk Parlimen Pendang

“Terima kasih kepada warga Pendang kerana datang dengan begitu ramai, yang secara tidak langsung menunjukkan mereka sudah bersedia untuk mengundi calon Perikatan Nasional daripada PAS, Datuk Haji Awang Hashim,” katanya.

Beliau berkata, PAS dan Bersatu adalah pengasas pembentukan PN dan beliau tidak akan lupa kepada peranan serta sumbangan PAS.

Bekas Perdana Menteri itu turut menjelaskan kepada pengundi yang hadir termasuk ahli-ahli Umno bahawa adalah amat penting menyelamatkan negara dengan mengundi PN walaupun mereka mungkin masih berat hendak meninggalkan Umno.

“Adalah menjadi tanggungjawab para pengundi untuk keluar mengundi pada 19 November ini waima apa jua situasi pada hari itu kerana negara ini memerlukan sebuah kerajaan yang kuat yang dapat membela nasib rakyat.

“Kita ada kemampuan untuk menguruskan negara dan kita berikrar untuk membentuk kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil (#PNBEST) seperti mana terkandung dalam Tawaran Perikatan Nasional PRU15,” katanya. – Malaysiapost

Komen