Reezal Merican teruskan tradisi Pak Lah
Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican meneruskan tradisi yang dilakukan Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan mengunjungi veteran Umno kawasan berkenaan.
Reezal Merican berkata golongan yang tinggal di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penaga itu merupakan tulang belakang kepada ‘Pak Lah’ sepanjang bekas Perdana Menteri itu menjadi Ahli Parlimen Kepala Batas.
“Saya dan isteri mengunjungi Haji Ramli Awang atau lebih dikenali sebagai Pak Lang Ramli. Pak Lang Ramli adalah salah seorang tulang belakang Ayahanda Tun Abdullah Badawi ketika memimpin Kepala Batas dahulu.
“Saya sebagai generasi penerus kepimpinan Ayahanda Tun Abdullah, saya sangat berbesar hati dapat bertanya khabar, bersua muka dengan generasi yang sentiasa ada di masa susah dan senang Ayahanda Tun Abdullah ketika memimpin Umno Bahagian Kepala Batas,” katanya di Facebook.

Reezal juga memaklumkan beliau turut bertemu warga Kota Aur sebelum itu bagi mendengar permasalahan dan pandangan rakyat dalam usaha memajukan kawasan berkenaan.