Satu undi untuk PN, satu undi untuk PH – Zahid

Satu undi untuk PN, satu undi untuk PH – Zahid

SATU undi untuk Perikatan Nasional (PN) bermakna satu undi bagi Pakatan Harapan, kata Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini yang bersungguh-sungguh mahu bersama PH, jadi tidak mustahil dua gabungan itu akan bekerjasama selepas ini.

“Terutama setelah gagal peroleh cukup kerusi untuk bentuk kerajaan. Sebab itu PPBM (Bersatu) tampak ‘down’ apabila ‘khemah besar’ tak menjadi.

“BN (Barisan Nasional) ‘of course’ tidak ada sebab pun untuk ‘down’. Buat apa perlu ‘down’. “What a joke”. Lantak kome le dengan ‘khemah besar’ kerana BN tetap BN,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, disebabkan rakyat perlu memberi kemenangan kepada BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) 19 November ini.

Katanya, ia agar tiada peluang PH dan PN bekerjasama membentuk semula kerajaan gagal 22 bulan.

“Yang sebetulnya satu undi untuk PH bermakna satu undi untuk DAP. Terang-terangan DAP merupakan parti komponen dan pembuat dasar PH.

“DAP malah tampak lebih menguasai semasa PH jadi kerajaan 22 bulan. Timbalan Menteri daripada DAP pun dilihat lebih berkuasa berbanding Menteri.

“Mungkin DAP diminta kurang menampil kali ini sebab mahu sembunyi fakta ini,” ujarnya lagi.

Tambah Ahmad Zahid, satu undi untuk Gerakan Tanah Air (GTA) pula memberi satu undi untuk Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Kata beliau, secara kesimpulannya satu undi untuk PH, PN, dan GTA bermakna satu undi untuk meranapkan masa depan Malaysia.

“Satu undi untuk BN bermaksud satu undi untuk mengembalikan kestabilan dan kemakmuran negara,” katanya. – Malaysiapost

Komen