Syed Saddiq tempelak BN isu kewarganegaraan anak lahir di luar negara
PENYANDANG kerusi Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menempelak Barisan Nasional (BN) yang berjanji akan meminda Perlembagaan Persekutuan berkenaan hak kewarganegaraan anak yang dilahirkan di luar negara.
Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu berkata, kerajaan pimpinan BN sebelum ini yang meneruskan rayuan kes isu terbabit di mahkamah sehingga anak Malaysia di luar negara dinafikan hak kewarganegaraan.
“Saya masih ingat sebelum ini apabila Family Frontiers membawa isu ini dan berjuang berhabis-habisan sehingga ke Mahkamah Persekutuan untuk dapatkan kewarganegaraan.
“Pada ketika itu kerajaan sendiri yang buat rayuan untuk kes ini sehinggalah anak Malaysia yang dilahirkan oleh wanita Malaysia sendiri dinafikan hak kewarganegaraan.
“Dan pada masa itu, Perdana Menteri adalah orang Umno- BN. Kalaulah tidak teruskan rayuan, anak-anak ini dah dapat pun kewarganegaraan mereka,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Beliau mengulas kesediaan BN meminda Perlembagaan Persekutuan berkenaan hak kewarganegaraan anak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia berkahwin dengan warganegara asing.
Perkara itu diumumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika membentangkan manifesto BN untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), yang dinamakan Perancangan Amal dan Usaha BN untuk Malaysia, atau singkatannya PADU.
Syed Saddiq turut menempelak BN kerana berani menggunakan isu terbabit dan kononnya mahu memperjuangkan hak ibu yang telah sekian lama dinafikan.
“Bila kempen PRU, mereka berani pula untuk memperjuangkan hak ibu-ibu Malaysia ini yang selama ini turun naik Jabatan Pendaftaran Negara, turun naik mahkamah hanya untuk dapatkan hak mereka yang telah sekian lama dinafikan.
“Relakah kita untuk memperjudikan nasib anak-anak Malaysia ini di tangan mereka ini lagi?,” soalnya. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook Syed Saddiq