Tun M sudah ‘out’ – Anwar

Tun M sudah ‘out’ – Anwar

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan penyertaan Tun Dr Mahathir Mohamad dan partinya dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekadar untuk memecahkan undi.

Presiden PKR itu berkata, bekas Perdana Menteri dua kali itu juga sudah tidak relevan selain mengingatkan rakyat supaya tidak lagi bercerita mengenai Dr Mahathir.

“(Pemimpin) yang lain itu, Dr Mahathir jangan kacaulah, sudah-sudahlah, jangan kacau dia lagi, jangan cerita lagi.

“Dia sudah ‘out’, dia buat pecah undi sahaja, (saya minta pengundi) jangan bagi pecah undi,” katanya dipetik Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada ceramah ketika tinjauan mesra di Pusat Jaja Taman Tangkak Jaya, Johor, hari ini.

Dalam pada itu, Anwar yang calon PH bagi kerusi Parlimen Tambun, menyifatkan dakwaan kononnya beliau akan berpakat dan berunding dengan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai tidak benar dan fitnah.

“Tak payah kacau dia (Mahathir) lagi, saya tak mahu kacau dia tapi dia kacau kita, dia kata tak boleh sokong PH, sebab PH mahu pakat (dengan Ahmad Zahid), Anwar mahu pakat sama Ahmad Zahid, apa cakap macam ini, dia susah hati, takut kita menang.

“Saya sendiri akan pergi ke Bagan Datuk, saya mahu serang tempat Ahmad Zahid, untuk kita menang di sana, dia tak tahu apa perancangan kita, perancangan kita ini adalah untuk dapat sekurang-kurangnya 112 (kerusi) untuk PH jadi kerajaan,” katanya.

Pada PRU15, Pejuang yang dipimpin Dr Mahathir bertanding di 161 kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN). – Malaysiapost

Komen