Ummah ajak Rafizi buat laporan jika benar ada penyelewengan projek KASA
GERAKAN Pembela Ummah (Ummah) mengajak Rafizi Ramli membuat laporan terhadap Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung penyelewengan projek di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).
Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa, berkata Timbalan Presiden PKR itu perlu mengemukakan bukti terhadap dakwaan dibuat kepada Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man agar perkara tersebut disiasat dan tindakan sewajarnya dapat dilakukan.
“Sehubungan itu Ummah mendesak Ketua Setiausaha Kementerian (KSU) KASA, segera tampil menjelaskan isu ini kepada rakyat dan juga Setiausaha Politik Menteri agar tampil menjelaskannya.
“Sekiranya tidak benar, maka satu laporan polis akan dibuat Ummah diseluruh negara kerana pendedahan ini satu cubaan fitnah politik murahan yang direka Rafizi dan hendaklah disiasat dibawah Akta Polis dan SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia).
“Menggunakan ‘fitnah politik’ sebagai strategi mengaibkan dan menjatuhkan lawan politik lain adalah cara ‘politik haiwan yang ganas’,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Rafizi menuntut penjelasan Tuan Ibrahim berhubung status projek kerja-kerja rancangan tebatan banjir Sungai Langat 2 bernilai RM2 bilion yang didakwa dalam proses mendapat kelulusan.
Beliau mendakwa, berdasarkan sumber dalaman, kementerian itu sedang dalam proses untuk menganugerahkan tender tersebut secara rundingan terus kepada sebuah syarikat sedangkan ia tidak boleh dibuat oleh kerajaan sementara.
Susulan dakwaan itu, Tuan Ibrahim menegaskan tidak pernah meluluskan projek dalam tempoh kerajaan sementara.
Malah, Tuan Ibrahim menyarankan supaya Rafizi membuat laporan kepada SPRM sekiranya mempunyai bukti berhubung dakwaan berkenaan.
Sementara itu, Mohd Zai berkata, melihat kepada cara kempen Rafizi kini sangat terdesak mendapatkan sokongan kan keyakinan rakyat yang semakin suram kepada Pakatan Harapan (PH)
“Mungkin beliau terpaksa menggunakan strategi hasut dan fitnah yang sensasi, agar mendapat perhatian rakyat sebagai penghasut yang dipergunakan oleh DAP.
“Sekarang hanya Rafizi menjadi benteng mempertahankan DAP yang boleh diharapkan berbanding pemimpin lain,” katanya. – Malaysiapost