Anwar tuntut RM5 juta dari Razman

Anwar tuntut RM5 juta dari Razman

DATUK Seri Anwar Ibrahim menuntut saman ganti rugi RM5 juta dan permohonan maaf secara terbuka daripada Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria

Ia susulan tuduhan yang beliau mempunyai agenda LGBT dan menjadi boneka DAP.

Tuntutan saman Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu disampaikan dalam surat tuntutan (LOD) bertarikh semalam daripada peguam, SN Nair & Partners.

Dalam surat tuntutan itu, Anwar yang juga calon Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), menyatakan Razman membuat ucapan berbaur fitnah itu yang menggambarkan Anwar antara lain sebagai seorang yang tidak berprinsip, korup, manipulatif, pro-komunisme, pro-sosialisme, seorang yang berkelakuan menyeleweng, dan seorang Muslim yang jahat.

Justeru, Razman diberi masa tujuh hari dari tarikh menerima surat untuk menjawab tuntutan Anwar.

Ahad lalu, dalam ucapan ketika berkempen di pasar malam Tebuk Pancur, Razman berulang kali memberi amaran kepada pengunjung supaya tidak mengundi PH dan BN.

Beliau mendakwa Anwar yang mengetuai PH adalah seorang yang mempunyai agenda LGBT yang mahu menghalalkan perkahwinan sejenis.

Razman turut mendakwa Anwar akan menyerahkan kuasa kepada DAP.

Selain ancaman undang-undang, polis juga sedang menyiasat kenyataan Razman selepas laporan dibuat oleh PKR.

Malaysiapost sedang cuba menghubungi Razman untuk mendapat kenyataan balas berkenaan tuntutan terhadapnya. – Malaysiapost

Komen