‘Apa nak jadi dengan LRT, setiap bulan mesti ada masalah’ – Syed Saddiq

‘Apa nak jadi dengan LRT, setiap bulan mesti ada masalah’ – Syed Saddiq

MENTERI Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong perlu memberi penjelasan segera berhubung tindakan Rapid KL menggantung tujuh hari operasi LRT di 16 stesen laluan Kelana Jaya, bermula hari ini.

Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata penggantungan operasi itu menyebabkan masa perjalanan pengguna pengangkutan awam tersebut meningkat dua kali ganda berbanding biasa.

“Apa nak jadi dengan LRT kita? Semakin parah dah sistem LRT kita. Setiap bulan mesti ada masalah.

“Tapi kali ini, tujuh hari (gantung operasi) dan 16 stesen tergendala! Stesen yang terkesan pula stesen penukaran, KL Sentral, Masjid Jamek, Pasar Seni dan Dang Wangi,” tulisnya di Facebook.

Justeru, Syed Saddiq menegaskan RapidKL perlu memandang serius isu berkenaan termasuk melaksanakan budaya penyelengaraan yang baik bagi menjamin masalah sama tidak berulang.

“Saya mohon ‘Caretaker’ Menteri Pengangkutan untuk jawab. Dari 45 minit rakyat kena habis masa atas jalan, sekarang dah dua kali ganda lagi lama.

“Bukan sehari, tapi tujuh hari. Banyak kali saya tekankan yang kita perlukan ‘maintenance culture’ yang baik. Sudah sampai masa isu ini diambil serius,” katanya.

Terdahulu, RapidKL memaklumkan sebahagian perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya akan digantung operasi selama tujuh hari, bermula hari ini.

Rapid KL berkata penggantungan operasi membabitkan 16 stesen LRT dari Stesen Kelana Jaya hingga Stesen Ampang Park.

Ia membabitkan Stesen LRT Kelana Jaya, Taman Bahagia, Taman Paramount, Asian Jaya,Taman Jaya, Universiti, Kerinchi, Bangsar, Abdullah Hukum dan KL Sentral.

Selain itu, Stesen LRT Pasar Seni, Masjid Jamek, Dang Wangi, Kampung Baru, KLCC dan Ampang Park.

Rapid KL dalam kenyataan malam tadi memaklumkan punca gangguan operasi dipercayai berpunca gangguan kepada komponen elektronik sistem kawalan tren automatik atau ATC yang menyebabkan kehilangan signal di antara pusat kawalan dan juga tren. – Malaysiapost

Komen