Bahaya besar menanti jika PH kembali berkuasa – Hadi

Bahaya besar menanti jika PH kembali berkuasa – Hadi

PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, rakyat sudah menyaksikan bahaya yang besar apabila Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pemerintahan selepas Pilihan Raya Umum Ke (PRU14) lalu.

Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata, ketika mentadbir negara, PH bukan sahaja cuba merungkai perlembagaan dan menyusahkan rakyat malah berbohong dengan janji manifesto yang gagal mereka tunaikan.

Justeru, Abdul Hadi berkata, rakyat perlu menjalankan tanggungjawab serta menyedari kewajipan dan tuntutan untuk keluar mengundi pada PRU15 demi menyelamatkan negara.

“Kepada rakyat Pahang, berilah kemenangan kepada Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya kali ini.

“Lakukanlah perubahan supaya kita dapat menyelamatkan negara daripada jatuh ke tangan mereka yang hanya mementingkan kedudukan dan harta,” katanya menerusi Facebook.

Terdahulu, beliau menghadiri Program Santai Temu Rakyat PN di Temerloh, Pahang, petang semalam.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata, PAS dan PN menampilkan ramai muka baharu serta tokoh berpengalaman dan berkualiti sebagai calon dalam pilihan raya kali ini.

Katanya, pendekatan itu bertujuan bagi menempatkan seramai mungkin wakil rakyat dari Kelantan di Dewan Rakyat.

“InsyaAllah, mudah-mudahan kita berjaya mengekalkan kemenangan di Kelantan dengan majoriti yang lebih besar.

“Seterusnya menjadikan Kelantan terus berada di bawah pentadbiran PAS dengan agenda ‘Membangun Bersama Islam’,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Jelajah PAS selama dua hari di Kelantan, semalam.

Dalam majlis itu, beliau menyantuni tokoh masyarakat termasuk kaum Cina, India dan penduduk setempat. – Malaysiapost

Komen