BN gerak sederap tawan DUN Bota, Belanja, Parlimen Parit
KAMI bergerak sederap, kata penyandang dan calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria.
Menurutnya, bergerak sederap adalah kempen secara bersama dengan calon BN kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bota, Khairul Shahril Mohamed dan DUN Belanja, Khairudin Abu Hanipah yang dikenali sebagai Cikgu Din.
“Soal ini penting bagi menunjukkan kerjasama satu pasukan dan keakraban kami bertiga adalah menyakinkan pengundi di Bota, Belanja dan seluruh Parit.
“Ia tidak jadi penghalang kerana saya akan berkempen secara berjemaah dengan kedua-dua mereka (calon DUN Bota dan Belanja) seberapa banyak yang boleh.
“Apabila ada suasana harmoni antara calon, maka saya di peringkat Parlimen dan Shahril (Bota) serta Cikgu Din (Belanja) kena berjalan seiring.
“Barulah pembangkang rasa gerun apatah lagi cerita deme (pembangkang) yang suka berputar-belit di Parit ini,” kata Mohd Nizar yang ditemui media di Lambor Kiri, hari ini.
Mohd Nizar berkata, BN mesti menang sekali gus dapat membentuk kerajaan yang dominan.
“Ini bagi memastikan kerajaan baharu yang akan datang ini berfungsi dengan cemerlang.
“Peranan BN sangat penting dalam menjamin kestabilan politik dan kerajaan demi kemakmuran rakyat dan ekonomi, katanya.
Mohd Nizar menegaskan, BN bertekad menang mutlak 3-0 dan menjadi penyumbang besar bagi membentuk kerajaan negeri baharu dan kerajaan Persekutuan selepas 19 November ini. -Malaysiapost