‘Buktikan saya kata Dr Mahathir PM korup’ – Kit Siang cabar Ka Siong

‘Buktikan saya kata Dr Mahathir PM korup’ – Kit Siang cabar Ka Siong

VETERAN DAP, Lim Kit Siang mencabar Datuk Seri Dr Wee Ka Siong untuk membuktikan bahawa beliau pernah menuduh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai seorang Perdana Menteri yang korup.

Penyandang Kerusi Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, sekiranya Ka Siong gagal untuk membuktikan perkara itu, beliau menggesa Presiden MCA tersebut menarik balik kenyataan terbabit.

Menurut Kit Siang, Ka Siong mengeluarkan kenyataan berkenaan menerusi laporan sebuah akhbar kelmarin, mendakwa beliau pernah menuduh Dr Mahathir korup namun kemudian menjalin hubungan baik dengan bekas Perdana Menteri berkenaan.

“(Selain itu) Ka Siong menasihati saya untuk tidak bongkak dalam meramalkan peluang kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Saya minta maaf, tapi saya rasa Ka Siong disalah maklum. Saya tidak pernah meramalkan kemenangan PH dalam PRU15, tetapi perkara ini adalah satu kemungkinan yang tidak boleh diketepikan,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, beliau mempersoalkan adakah Ka Siong cuba mengatakan yang PH tidak ada peluang untuk memenangi PRU15 sekali gus mengangkat menjadi Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

“Adakah Ka Siong cuba mengatakan yang Malaysia memang telah ditakdirkan untuk kekal sebagai sebuah negara ‘biasa-biasa sahaja’ selepas enam dekad diperintah kerajaan Umno-MCA-MIC?

“…yang Malaysia akan terus ditinggalkan di belakang negara lain dari segi politik demokrasi, kuasa ekonomi, piawaian pendidikan yang tinggi dan perang terhadap rasuah?,” soalnya.

Justeru, Kit Siang menegaskan beliau sedia berjumpa Ka Siong bagi menuntut jawapan mengapa pemimpin MCA tidak pernah mengecam skandal 1MDB yang telah menyebabkan Malaysia dikenali di seluruh dunia sebagai sebuah ‘kleptokrasi dalam bentuk yang terburuk’.

“Saya percaya, sekiranya tokoh penubuhan MCA dan Presiden awalnya seperti Tan Cheng Lock dan Tan Siew Sin masih hidup hari ini, mereka tidak akan mempunyai sebarang keraguan untuk mengecam skandal 1MDB

“Ini kerana perkara itu adalah salah satu perkara yang bertentangan dengan prinsip Presiden Umno yang ketiga yang merupakan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak.

“Namun, semua rakyat Malaysia masih keliru. Mengapa Ka Siong dan MCA (dan juga MIC) menyokong Najib dan skandal 1MDB?,” solanya, – Malaysiapost

Komen