Dilarang berceramah: 6 pendakwah mahu jumpa MAINPP
ENAM pendakwah memohon mengadakan pertemuan dengan kerajaan Pulau Pinang susulan larangan menyampaikan ceramah, khutbah atau majlis-majlis ilmu di negeri itu dikeluarkan terhadap mereka.
Mereka ialah Datuk Mohd Kazim Elias, Ahmad Dusuki Abdul Rani; Aiman Subri; Datuk Ahmad Husam Baderudin; Shahrir Long dan Subri Arshad.
Mereka memohon mengadakan pertemuan mahabbah dengan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman menerusi surat bertarikh 6 November lalu.
Surat tersebut tular di media sosial hari ini.
Kandungan surat itu antara lain bertujuan menyelesaikan segala isu-isu berbangkit.
Baru-baru ini Ahmad Zakiyuddin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) mendedahkan seramai 16 individu tidak memiliki tauliah mengajar daripada agensi itu di negeri tersebut.
Sehubungan itu, Ahmad Zakiyuddin berkata pihak penganjur dilarang menjemput 16 individu berkenaan untuk menyampaikan ceramah kerana ketiadaan tauliah mengajar.
Ahmad Zakiyudin berkata, mana-mana pihak yang gagal mematuhi perkara itu boleh dikenakan hukuman penjara atau denda mengikut undang-undang sedia ada.
Katanya, kedua-dua pihak boleh dikenakan tindakan yang mana penceramah boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Semalam Ahmad Dusuki Ahmad Dusuki yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS, meluahkan rasa tidak puas hatinya menerusi hantaran di Facebooknya.
Ia susulan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipercayai telah memberi ceramah di sebuah masjid di Pulau Pinang, baru-baru ini.
Menerusi hantaran itu, Ahmad Dusuki turut memuat naik gambar Anwar yang dipercayai sedang memberi ceramah kepada jemaah.
“Saya antara nama yang dilarang berkuliah di Pulau Pinang oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) seperti dilapor media disebabkan saya tidak ada tauliah katanya.
“Manakala hamba Allah ini pula? ada tauliah jugakah?,” soalnya.
Sehubungan itu, Ahmad Dusuki meminta penjelasan dan mahu tahu tindakan daripada MAINPP kerana Anwar dibenarkan berbuat demikian. – Malaysiapost