Dilarang ceramah, Anwar ada tauliahkah? soal Ahmad Dusuki

Dilarang ceramah, Anwar ada tauliahkah? soal Ahmad Dusuki

BEKAS Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS, Datuk Ahmad Dusuki Abd Rani yang dilarang memberi ceramah di Pulau Pinang tampil meluahkan rasa tidak puas hatinya menerusi hantaran di Facebook, semalam.

Ia susulan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipercayai telah memberi ceramah di sebuah masjid di Pulau Pinang, baru-baru ini.

Menerusi hantaran yang dibuatnya, Ahmad Dusuki turut memuat naik gambar Anwar yang dipercayai sedang memberi ceramah kepada jemaah.

“Saya antara nama yang dilarang berkuliah di Pulau Pinang oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) seperti dilapor media disebabkan saya tidak ada tauliah katanya.

“Manakala hamba Allah ini pula? ada tauliah jugakah?,” soalnya.

Sehubungan itu, Ahmad Dusuki meminta penjelasan dan mahu tahu tindakan daripada MAINPP kerana Anwar dibenarkan berbuat demikian.

“Haram keluarga saya dan keturunan saya mengundi Pakatan Harapan kali ini!!! Noktah..,” katanya.

Sebelum ini, MAINPP mengeluarkan surat pekeliling senarai nama 16 individu termasuk pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias yang didapati tidak memiliki tauliah mengajar daripada MAINPP.

Turut tersenarai adalah Ahmad Dusuki, Datuk Ahmad Husam Baderudin, Yusni Mat Piah, Dr Abdullah Yassin, Prof Madya Dr Muhamad Rozaimi Ramle, Salman Ali, Maulana Fakhrurrazi, Mohd Rizal Azizan dan Halim Hassan.

Selain itu adalah Aiman Subri, Afnan Hamimi Taib Azamudden, Shaharudin Ibrahim, Wan Hizam Abdullah Sabil, Shahrir Long dan Sobri Arshad.

Yang Dipertua MAINPP, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman dilapor berkata pihak penganjur dilarang menjemput individu berkenaan untuk menyampaikan ceramah, khutbah atau majlis ilmu atas sebab ketiadaan tauliah mengajar yang dikeluarkan MAINPP. – Malaysiapost

Komen