Ismail Sabri, Muhyiddin akui KJ layak jadi PM di masa akan datang

Ismail Sabri, Muhyiddin akui KJ layak jadi PM di masa akan datang

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui keupayaan dan kredibiliti Khairy Jamaluddin untuk menerajui negara sebagai Perdana Menteri pada masa akan datang.

Ismail Sabri berkata perkara itu tidak mustahil berlaku jika calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh itu mendapat sokongan penuh daripada semua pihak.

“Bukan sekarang, dia (Khairy Jamaluddin) cakap. Akan datang dan menang, dia layak menjadi Perdana Menteri.

“Kalau kita (BN) menang dalam pilihan raya umum dan dapat sokongan daripada parti, Khairy Jamaluddin merupakan salah seorang yang layak untuk diangkat jadi Perdana Menteri satu masa nanti,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Sementara itu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengakui Khairy layak memegang jawatan sebagai Perdana Menteri dan ketika melaksanakan tugas sebagai menteri juga dianggap cemerlang.

“Saya fikir mungkin bukan satu cakap kosong. Dia seorang tokoh yang bagus, malah dalam Kabinet saya pun dia antara orang yang dipercayai.

“Dia menguruskan soal Covid-19 dan sebagainya dengan baik, ada masa depan yang baik, cuma dia ada dalam parti yang salah.

“Tapi tak mengapalah, semua orang mempunyai cita-cita untuk jadi apa sekalipun. Tak perlu tanya kenapa kau nak jadi PM? Itu impian dia. Tapi bila masanya?

“Mungkin dia kena ambil alih Umno dan jadi Presiden. Peroleh jumlah kerusi yang banyak serta boleh membentuk kerajaan ketika itu. Ketika ini dia boleh cakap saja, tak salah pun,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Sebelum ini, Khairy menyatakan hasratnya untuk memimpin Umno dan seterusnya menjadi Perdana Menteri satu hari nanti.- Malaysiapost

Komen