Manifesto BN paling komprehensif – Asyraf Wajdi

Manifesto BN paling komprehensif – Asyraf Wajdi

PEMUDA Umno yakin manifesto Barisan Nasional (BN) adalah yang paling komprehensif dan mencakupi setiap aspek keperluan rakyat.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata beliau membuat kesimpulan itu selepas Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) selesai membentangkan manifesto masing-masing.

“Kita (BN) membentangkan konsep baru ‘Assistive Basic Income’ bagi menampung pendapatan isi rumah di bawah RM2,208 sebulan sekaligus menghapuskan kemiskinan mutlak.

“Kita menawarkan potongan cukai individu bagi M40 untuk memperkasakan kuasa beli rakyat. Kita memperkenalkan Kumpulan Wang Pengekalan Kerja bagi memastikan jaminan pekerjaan dan membantu majikan mempertahankan sumber manusia syarikat

“Kita memperkenalkan manifesto khusus untuk Wanita melalui tawaran Bank Ekonomi Wanita, Hospital Pakar Wanita, Universiti Awam Wanita, insentif bagi penyediaan waktu kerja anjal untuk ibu bekerja serta 0% cukai pendapatan selama lima tahun bagi wanita yang mahu bekerja semula,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, BN juga berani menyediakan laptop percuma untuk B40 agar sistem persekolahan tanpa buku teks dapat dilaksanakan.

Katanya lagi BN juga berikrar memastikan liputan 5G di semua sekolah selesai dalam tempoh 18 bulan, selain pendidikan percuma di peringkat tinggi untuk B40, jaminan pendidikan awal kanak-kanak dan asuhan percuma turut disediakan.

“Malah, kami melawan arus dengan berjanji memastikan wujudnya keseimbangan semula antara pendidikan sains dan sastera.

“Di saat ada ahli politik berpandangan subjek sejarah, moral dan agama adalah beban, kami berpendirian kemajuan ekonomi mesti seiring dengan jati diri. Tiada guna ekonomi maju, tetapi identiti bangsa menjadi gadaian,” katanya.

Tambahnya, janji kepada Sabah dan Sarawak juga terkandung dalam manifesto walaupun BN tidak bertanding di Sarawak.

Pada masa sama, katanya, insentif kepada petani dan nelayan, pemeliharaan hak pekerja gig ekonomi, tawaran menyeluruh sistem kesihatan, keselamatan makanan, pemurnian sistem keadilan, pemerkasaan dasar luar dan perdagangan, bantuan kepada OKU, jaminan pekerjaan anak muda serta usahawan turut ditawarkan.

“Semua ini kami rangkumkan dalam satu manifesto yang inshaAllah cukup lengkap bagi kesejahteraan hidup rakyat

“BN tidak menawarkan bulan dan bintang. BN tidak menjanjikan kehidupan alam kayangan. BN tidak mendondangkan manifesto palsu untuk akhirnya dimungkiri dengan pelbagai alasan

“Tetapi BN menawarkan sesuatu yang telah terbukti mampu dilaksanakan. Semua ini kami yakinkan melalui rekod dan pencapaian pada zaman BN menjadi kerajaan,” katanya. – Malaysiapost

Komen