Mudah-mudahan sampah sarap amalan rasuah hanyut pada 19 Nov – Muhyiddin

Mudah-mudahan sampah sarap amalan rasuah hanyut pada 19 Nov – Muhyiddin

TAN Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan rasa terharu menyaksikan sambutan luar biasa ribuan penduduk Perlis dalam program Perikatan Nasional (PN) di negeri itu.

Pengerusi PN itu berkata sambutan luar biasa tersebut terserlah di tapak ceramah PN di Taman Bukit Kubu di Kuala Perlis.

“Gelombang ini diharap bertambah besar menjelang 19 November nanti dan mudah-mudahan mampu menghanyutkan segala sampah-sarap amalan rasuah dan salah guna kuasa, agar PN dapat membentuk kerajaan yang berintegriti.

“Rasuah ini barah dalam masyarakat. Jangan biarkan amalan rasuah berleluasa. Sebab itu calon-calon berikrar dengan nama Allah untuk menentang rasuah.

“Moga misi dan visi kita untuk membentuk kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil (#PNBEST) tercapai,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Sementara itu Muhyiddin melahirkan rasa syukur kerana Datuk Seri Shahidan Kassim kini bersama Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau juga teruja melihat kesungguhan jentera gabungan tersebut menyokong Shahidan yang juga calon PN Parlimen Arau.

“Alhamdulillah, beliau (Shahidan) kini bersama kita dalam misi untuk menang PRU15, sekali gus mendapat mandat rakyat bagi membentuk kerajaan yang stabil.

“Semangat rakyat Perlis juga dapat saya rasai ketika meninjau Bilik Gerakan PN di Titi Tinggi,” katanya.

Semalam beliau turun ke beberapa kawasan di Perlis dan mengakui melihat sendiri gelombang luar biasa sokongan rakyat terhadap PN. – Malaysiapost

Komen