Muhyiddin beri jaminan kepimpinan bebas rasuah sekiranya PN menang PRU-15

Muhyiddin beri jaminan kepimpinan bebas rasuah sekiranya PN menang PRU-15

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan barisan kepimpinan bebas rasuah akan menerajui negara sekiranya parti itu dipilih menjadi kerajaan nanti.

Calon PN bagi Parlimen Pagoh itu berkata sebagai seorang muslim telah menjadi prinsip beliau untuk menentang perkara yang salah dan tidak berdiam diri melihat kemungkaran yang berlaku.

“Saya telah lalui pelbagai rintangan dalam perjuangan menentang kemungkaran semata-mata untuk menegakkan sebuah kerajaan yang bersih.

“Saya yakin semua dari kita mahukan Kerajaan yang bersih. Kerajaan yang dipimpin oleh barisan kepimpinan yang bebas rasuah. Kami di Perikatan Nasional memberi komitmen untuk ini,” katanya di Facebook.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 ini PN bertanding di 169 kerusi Parlimen dan 116 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagi peringkat Parlimen, Bersatu akan bertanding di 74 kerusi; PAS (64 kerusi); Gerakan (20 kerusi) dan Bersekutu (11 kerusi).

Manakala kawasan DUN pula, PAS akan bertanding di 57 kerusi, Gerakan (14), Bersatu (41) dan Bersekutu (empat) di Pahang, Perak serta Perlis.

Komen