Nik Abduh tetap bantu calon PAS berkempen di Bachok

Nik Abduh tetap bantu calon PAS berkempen di Bachok

MESKIPUN tidak dicalonkan mempertahankan kerusi Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz tetap membantu calon PAS, Mohd Syahir Che Sulaiman berkempen di Parlimen berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Mohd Syahir berkata, Nik Mohamad Abduh tidak menunggu lama, bingkas bergerak seiring dengannya untuk memberi sokongan selepas hari penamaan calon, Sabtu lalu.

“Sepanjang berkempen, beliau (Nik Mohamad Abduh) juga bersama-sama dengan saya turun padang untuk berjumpa dengan pengundi serta melawat jentera PAS kawasan.

“Saya merasa cukup bertuah apabila anak bekas Menteri Besar Kelantan itu menyatakan komitmen untuk membantunya sepanjang tempoh berkempen,” katanya kepada media pada sidang media di Pejabat Penerangan PAS Kelantan, Kota Bharu, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan, tindakan PAS tidak mencalonkan penyandang Parlimen Bachok itu bukan untuk mematikan legasi Allahyarham Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, beliau (Nik Mohamad Abduh) sebaliknya secara sukarela memberi laluan kepada calon muka baharu.

“Bukan mahu mengenepikan Nik Abduh, sebaliknya ingin menampilkan calon muda dan tidak timbul isu mematikan legasi Allahyarham Nik Abdul Aziz kerana perjuangan bukan individu sebaliknya dasar yang mahu diperjuangkan,” katanya.

Mohd Syahir mengakui bukan mudah untuk menandingi aura legasi Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz yang kini disandang oleh anaknya, Nik Mohamad Abduh.

“Walaupun sedikit gentar, namun saya perlu menggalas tanggungjawab ini sebaik yang mungkin dan memastikan kemenangan PAS pada PRU15,” katanya. -Malaysiapost

Komen