Penduduk Kapar mahu pemimpin muda, boleh bekerja untuk rakyat
Najamuddin Mohd Nor
ASYIK berpolitik demi kelangsungan partinya menyebabkan rakyat di Parlimen Kapar seolah-olah terpinggir.
Prestasi tidak memuaskan wakil rakyat sebelum ini diluahkan penduduk di Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang, Roslan Abdul yang berkata, sepatutnya Ahli Parlimen yang diberi mandat, menunaikan tanggungjawab mereka menjaga kebajikan rakyat sekali gus menyelesaikan segala isu berbangkit dengan rakyat.

“Dia bukan tak bagus, tapi itulah kehadiran dia sebagai Ahli Parlimen di Kapar ini tak berapa dirasai. Nak datang menjengah, beramah mesra, dan prihatin isu-isu setempat amat jarang sekali dalam tempoh hampir lima tahun ni.
“Kami tak mahu wakil rakyat yang asyik berpolitik untuk diri dan partinya, menumpu kepada isu-isu nasional tetapi tidak cakna dengan nasib, keperluan dan isu-isu rakyat seperti jalan rosak dan banjir kilat.
“Jadi lebih baik pilihan raya kali ini kami dapat Ahli Parlimen baru terutama dari kalangan orang muda yang akan dapat memberi kesegaran baru pada rakyat di sini,” katanya ketika ditemui Malaysiapost baru-baru ini.
Berlainan pula bagi Umi Syuhaida Shamsuddin yang berpendapat, rakyat di Parlimen Kapar memerlukan tokoh pemimpin yang lebih agresif, pantas dan tuntas dalam menyelesaikan dalam segala isu berkaitan kehidupan rakyat di kawasan berkenaan.

“Saya nampak hanya wakil rakyat dari kalangan orang muda memiliki ciri-ciri yang diperlukan rakyat di Parlimen Kapar.
“Selain membawa aspirasi baru untuk orang muda, pemimpin muda ni lebih bertenaga, cerdas sekali gus dapat memberi komitmen lebih 100 peratus untuk menjaga dan membela nasib rakyat di Parlimen Kapar.
“Kalau wakil rakyat sebelum ini dari kalangan ‘otai’ yang jarang-jarang nampak muka di kawasan, sudah tiba masanya Kapar memerlukan wakil rakyat dari kalangan orang muda kerana pastinya yang muda itu lebih agresif daripada yang lama. Rakyat juga yang untung,” katanya.
Manakala bagi Zamani Mohd Darus pula berkata, masalah banjir yang sering berlaku di kawasan kediamannya di Jalan Paip, Meru seperti tiada kesudahan.

“Wakil rakyat dulu tak dapat selesaikan masalah banjir ini. Kadang kala hujan sekejap saja dah banjir. Kita dah buat aduan macam-macam tapi sistem perparitan di sini masih lagi macam tu. Inilah punca banjir.
“Keadaan ini banyak kali berlaku dalam setahun ini, hampir 100 rumah yang terlibat, banyak harta benda rosak, kerugian dan meletihkan bila berlaku banjir.
“Jadi saya haraplah, siapa yang jadi wakil rakyat selepas ni tolonglah selesaikan masalah ini. Kami dah cukup sengsara dengan banjir,” katanya.
Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan pertembungan tujuh penjuru.
Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan Muhammad Noor Azman yang merupakan calon paling muda, berusia 30 tahun.
Beliau bakal berdepan Mohd Pathan Hussin (GTA), Dr Halimah Ali (PN), Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (PH), Datuk Seri Rahim Awang (Warisan), Datuk Seri Selvalinggam (Bebas) dan Dr Daroyah Alwi (PBM).
Untuk rekod, pada PRU14 lalu Parlimen Kapar telah dimenangi Abdullah Sani dengan majoriti 16,306 undi. – Malaysiapost