Pengundi tertua Peramu Jaya tagih kepimpinan Nizar mirip Najib, Tun Razak
PENDUDUK Dewan Undangan Negeri (DUN) Peramu Jaya menaruh harapan tinggi kepada Datuk Mohd Nizar Najib agar dapat menerapkan kepimpinan seperti ayahnya jika dipilih menjadi wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
Memetik Berita Harian, warga emas, Ramlah Mat Kilau, 87m berharap calon Barisan Nasional (BN) itu dapat mencontohi kepemimpinan ayahnya, Datuk Seri Najib Razak dan datuknya, Allahyarham Tun Razak Hussein, yang pernah menerajui Parlimen Pekan suatu ketika dulu.
“Saya berharap corak kepemimpinan yang sentiasa mementingkan kebajikan rakyat dapat diamalkan calon BN DUN Peramu Jaya, Datuk Mohd Nizar.
“Sekiranya kebajikan rakyat terus dijaga sama seperti dilakukan pemimpin sebelum ini, tidak mustahil BN akan mencatat kemenangan pada PRU15 kali ini,” katanya.
Ramlah berkata, dia yakin rakyat akan memberi sokongan kepada Mohd Nizar untuk memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat DUN Peramu Jaya pada 19 November ini.
Katanya, dia (Mohd Nizar) mempunyai ketokohan dalam politik, kebolehan berkenaan hanya perlu digilap sekali gus memastikan kejayaan cemerlang diraih dalam kerjayanya.
“Saya bersyukur apabila berpeluang mengundi BN Pekan bermula daripada Allahyarham Tun Razak kemudian Najib dan selepas ini insya-Allah pemimpin muda Mohd Nizar.
“Saya mendoakan semoga Mohd Nizar meraih kemenangan pada PRU15 kali ini,” katanya yang menerima kunjungan Mohd Nizar dan rombongan BN ke rumahnya, semalam.
Ramlah yang juga warga emas tertua di daerah itu, berharap pengundi DUN Peramu Jaya, DUN Bebar dan DUN Chini serta Parlimen Pekan tidak berganjak daripada menyokong BN dan Umno. – Malaysiapost