‘PH, PN berkomplot zalimi Bagan Datuk selepas PRU14’ – Zahid
PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa Parlimen Bagan Datuk dizalimi serta dianaktirikan oleh Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, selepas PRU14 musuh BN itu bersepakat membatalkan 10 projek pembangunan utama di Bagan Datuk.
Selain itu, Ahmad Zahid berkata, sebanyak 25 lagi projek pembangunan untuk rakyat Bagan Datuk ditangguhkan secara tiba-tiba.
“Alasan dibatalkan kerana implikasi kewangan amat menyakitkan hati kita semua, tetapi apakan daya. Seolah-olah tiada nilai Bagan Datuk serta masyarakatnya di mata mereka.
“Sedangkan ia projek yang dirancang untuk Bagan Datuk di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11). Telah diteliti, dinilai kos dan manfaatnya oleh kerajaan BN sebelum tertewas pada PRU14,” katanya menerusi Facebook.
Justeru, Ahmad Zahid yang juga penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk meminta pengundi sedar penganiayaan dilakukan musuh BN itu, selama 22 bulan mereka menjadi kerajaan.
“Merekalah yang kini PH dan PN dulu berkomplot untuk menzalimi masyarakat Bagan Datuk,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, Bagan Datuk diiktiraf sebagai daerah baharu ke-12 di Perak pada 2017, sebelum musuh BN mengambil alih kerajaan.
“Sejak menjadi daerah baharu di Perak, pelbagai pembangunan telah dirancang oleh Kerajaan Barisan Nasional. Membabitkan peruntukan berbilion ringgit yang diperuntukkan untuk penduduknya.
“Namun gara-gara anasir politik musuh BN jadi tidak berperikemanusiaan. Sanggup batalkan dan tangguh projek pembangunan lain di daerah tercinta kita,” katanya.
Justeru, beliau berkata, tarikh 19 November 2022 adalah masa untuk rakyat Bagan Datuk tanpa mengira sentimen politik untuk bangkit ‘memulangkan paku buah keras’ di atas kezaliman musuh dari luar ini.
“Kita sepakat memberi kemenangan besar kepada BN pada PRU kali ini. Supaya mereka tahu erti penyesalan kerana pernah menganiaya dan menzalimi Bagan Datuk.
“Sekali gus terus mempertahankan kemakmuran dan kesejahteraan di Bagan Datuk dan Malaysia keseluruhannya,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid berkata, menjelang PRU15 musuh BN berbondong-bondong hadir ke Bagan Datuk dengan membawa pelbagai macam naratif serta propaganda.
“Ia bertujuan meluncurkan kebencian ke atas rakyat Bagan Datuk yang akan mengundi pada 19 November ini,” katanya. – Malaysiapost