PN mampu tawan Perlis – Muhyiddin

PN mampu tawan Perlis – Muhyiddin

PERIKATAN Nasional (PN) yakin gabungan politik itu mampu menawan Perlis, berdasarkan gelombang sokongan yang ditunjukkan pengundi di negeri tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata gelombang itu dijangka membawa ‘tsunami’ dalam menolak Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) daripada mentadbir negara.

“Di Perlis ada satu gelombang… rakyat Perlis dilihat telah bersedia untuk memberi sokongan kepada PN dan menolak BN dan juga PH.

“Gelombang ini bukan hanya berlaku di Perlis sebaliknya kita juga percaya mampu menawan Putrajaya,” katanya ketika berucap pada Majlis Jelajah PN BEST di Kuala Perlis, malam tadi.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, kerajaan pimpinannya sebelum ini mengambil keputusan luar biasa dan cukup penting untuk mengekang penularan Covid-19.

“Selepas ambil alih pentadbiran negara, saya buat satu keputusan yang dikatakan luar biasa dan cukup penting untuk membendung penularan wabak Covid-19 pada mesyuarat Kabinet.

“Maka, Jemaah Menteri yang dipimpin oleh saya ketika itu memutuskan supaya kita kenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

“Saya berusaha mencari jalan dan ikhtiar di mana pada waktu itu tiada ubat atau vaksin untuk diberikan kepada mereka yang dijangkiti supaya dapat diselamatkan,” katanya.

Beliau mengulas dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berulang kali dalam siri ceramahnya mendakwa bekas Perdana Menteri itu gagal dalam menguruskan pandemik Covid-19.

Menurut Muhyiddin, beliau sudah sehabis baik memikul tanggungjawab dan akhirnya kerajaan PN diiktiraf sebagai berjaya oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai antara negara yang terbaik menguruskan pandemik. – Malaysiapost

Komen