Polis Pahang buka 3 kertas siasatan sejak hari penamaan calon
SEBANYAK tiga kertas siasatan dibuka polis Pahang membabitkan jenayah dan kesalahan sejak kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bermula Sabtu lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, dua kes dilapor di Bera manakala satu lagi di Temerloh.
Katanya, semua laporan itu sedang dalam tindakan pihak Jabatan Siasatan Jenayah dan unit pendakwaan.
“Kes pertama dilaporkan pada 5 November lalu di Bera membabitkan ugutan jenayah oleh seorang pekerja kempen pilihan raya.
“Dia dikatakan melakukan kerja memasang bendera dan kerja kempen tetapi tidak menerima upah.
“Suspek kemudiannya dikatakan berjumpa seorang kakitangan kempen dan mengeluarkan kata-kata dan ugutan jenayah.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya dalam sidang media di Kuantan, hari ini.
Ramli berkata, satu lagi laporan diterima di Triang, dekat Bera membabitkan kejadian khianat apabila suspek merosakkan papan tanda calon dan bendera parti yang dipasang.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.
“Satu lagi laporan polis diterima semalam membabitkan calon parlimen Kuala Krau, dekat Temerloh.
“Kes itu berkait dengan satu hantaran di laman sosial Facebook berunsurkan pengembangan kepada perasaan jahat atau permusuhan.
“Bagi laporan ini, kita melakukan siasatan mengikut Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya lagi. – Malaysiapost