Rupanya Lando graduan Universiti luar negara
KALAU tidak kerana Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), mungkin ramai tidak tahu pelakon Lando Zawawi rupanya graduan Universiti Australia.
‘Kisah’ Lando atau nama sebenarnya Azlan Sani Zawawi memiliki latar belakang berkelulusan pendidikan tinggi menjadi bualan hangat netizen di media sosial ketika ini.
Taraf pendidikan tinggi dimiliki calon Gerakan Tanah Air (GTA) yang bertanding di Parlimen Tanjong Karang itu mencuri perhatian netizen apabila profil Lando dikongsi di media sosial oleh parti Pejuang.
Lando merupakan graduan kelulusan Universiti Tasmania, Australia, dipercayai antara universiti terbaik peringkat global.
Malah, pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood (Brotherhood) itu adalah alumni Sekolah Menengah Sultan Haji Ismail Ahmad Shah Kuantan (Sains Kuantan), iaitu antara sekolah berasrama penuh (SBP) terbaik dalam negara.
Tinjauan di ruangan komen, rata-rata netizen sebelum ini mengakui teruja dengan kefasihan Lando bertutur dalam Bahasa Inggeris di dalam klip video yang pernah dihasilkannya.
Namun mereka tidak menyangka lelaki yang sering memperjuangkan masalah penyelenggaraan rosak memiliki taraf pendidikan tinggi seperti itu.
Tidak kurang terdapat juga segelintir netizen memuji tindakan GTA yang mencalonkan Lando bertanding di Tanjong Karang kerana memiliki kualiti profil yang hebat.
Malah ramai yang menyifatkan menjadi satu kerugian sekiranya pengundi di Tanjong Karang tidak memilih Lando sebagai Ahli Parlimen pada 19 November ini.
Pada PRU15 Lando akan berdepan saingan lima penjuru merebut Parlimen Tanjong Karang.
Penyandang sebelum ini, Tan Sri Noh Omar bagaimanapun tidak bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Tanjong Karang berikutan tidak dicalonkan partinya. – Malaysiapost