Selamatkan negara daripada politik korup – Anwar
RAKYAT perlu memanfaatkan peluang mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) demi menyelamatkan negara daripada politik korup dengan pemerintahan baharu yang lebih baik.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Malaysia amat memerlukan sebuah kepimpinan dan kerajaan yang dipercayai rakyat sebelum negara mampu meyakinkan pihak luar termasuk pelabur.
“Rakyat dari Perlis hingga ke Sabah termasuk yang berada di luar negara harus berganding bahu mengundi PH PRU15 pada 19 November ini.
“Jadi bangkit rakyat Malaysia kita buat perubahan kepada negara tercinta kita ini,” katanya menerusi Facebook.
Terdahulu, Anwar menamatkan Jelajah PH di Johor bersama pimpinan gabungan itu di Ayer Hitam, malam tadi.
Dalam pada itu, Anwar berkata, pelabur luar amat menantikan Malaysia ditadbir sebuah kerajaan yang stabil.
“Pelabur berharap PH mentadbir Malaysia bagi membolehkan mereka melabur di negara ini.
“InsyaAllah dengan undi rakyat Malaysia kita mampu lakukan perubahan drastik kepada ekonomi negara dan kebajikan rakyat,” katanya. – Malaysiapost