Tender tebatan banjir: Rafizi minta Tuan Ibrahim jawab 3 soalan
TIMBALAN Presiden PKR, Rafizi Ramli menuntut Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menjawab tiga soalan berhubung dakwaan kelulusan projek tebatan banjir yang diakwa dibuat selepas pembubaran Parlimen.
Rafizi berkata, Tuan Ibrahim perlu menjawab mengenai tanggungjawabnya melantik Mangkubumi Sdn Bhd (Mangkubumi) sebagai kontraktor projek tebatan banjir Krubong-Durian Tunggal bernilai RM578.6 juta di bawah program Jana Wibawa.
Menurut Rafizi, Timbalan Presiden PAS itu menafikan mengetahui lebih lanjut mengenai projek berkenaan tetapi terdapat dokumen yang ditandatanganinya, iaitu Surat Setuju Terima (SST) bertarikh 30 Ogos 2022.
“Beliau juga perlu menjawab dokumen yang menyenaraikan dua projek besar membabitkan Mangkubumi (projek tebatan banjir Krubong bernilai RM578.6 juta dan projek tebatan banjir Sungai Langat Fasa 2 bernilai RM2 bilion) adalah dokumen kerajaan yang berada dalam rekod Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).
“Selain itu, Tuan Ibrahim perlu menjelaskan senarai dua projek berkenaan serta catatannya, yang menyatakan projek tebatan banjir Sungai Langat Fasa 2 diuruskan secara rundingan terus, adalah cabutan daripada dokumen rasmi kerajaan yang membabitkan kementerian beliau,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Rafizi berkata, kegagalan Tuan Ibrahim menjawab tiga soalan yang dikemukakannya itu akan mengesahkan beberapa perkara, antaranya mengenai proses dalaman KASA dan Kementerian Kewangan yang sememangnya menyenarai pendek Mangkubumi sebagai kontraktor projek tebatan banjir Sungai Langat 2 yang berjumlah RM2 bilion.
“Ia juga mengesahkan proses dalaman KASA dan Kementerian Kewangan sememangnya mengesyorkan agar Mangkubumi dilantik secara rundingan terus tanpa tender terbuka,” katanya.
Mengulas mengenai Mangkubumi, beliau berkata, syarikat itu mempunyai kaitan dengan pimpinan Umno dan pernah terkait dengan kes mahkamah iaitu penggubahan wang haram sebanyak RM139 juta yang dipindahkan kepada seorang pemimpin parti itu.
Katanya, jika syarikat itu tidak terpalit dengan kes jenayah komersial sekali pun, Mangkubumi sudah memperoleh jumlah projek yang begitu tinggi dari KASA termasuklah projek loji rawatan kumbahan serantau dan rangkaian paip pembetungan di Papan, Kinta, Perak bernilai RM828 juta serta pembinaan paip pembetungan di kawasan Petaling Jaya utara.
“Dalam enam tahun ini, KASA menganugerahkan projek bernilai RM2.3 bilion melalui syarikat-syarikat yang dikawal seorang individu malah prestasi kerja Mangkubumi sebelum ini pernah mendapat teguran secara rasmi Laporan Ketua Audit Negara (LKAN),” katanya.
Ditanya mengenai laporan SPRM seperti gesaan Tuan Ibrahim, Rafizi menolak perkara itu sebagai tiada keperluan dan mendakwa, hampir semua skandal penyelewengan dan pendedahan yang dilaporkannya kepada polis dan SPRM tidak diambil tindakan.
“Saya sebelum ini membuat banyak laporan kepada polis dan SPRM tetapi semuanya tiada tindakan. Saya berpengalaman lebih 10 tahun dan mendedahkan pelbagai skandal dan akhirnya ia dibawa ke muka pengadilan.
“Tetapi ia (tindakan undang-undang) bukan datang dari polis atau SPRM tetapi pendedahan yang menyebabkan kemarahan rakyat. Contohnya kes kapal tempur pesisir (LCS), tidak diambil tindakan walaupun ada laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tetapi disebabkan tidak mahu kehilangan undi, seseorang akhirnya di bawa ke muka pengadilan,” katanya.
Sebelum ini, Rafizi membuat pendedahan berhubung status kelulusan projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat 2 bernilai RM2 bilion dan mendakwa kementerian itu dalam proses untuk menganugerahkan projek secara runding terus kepada kontraktor yang dilantik.
Tindakan itu jelas melanggar undang-undang kerana tiada sebarang keputusan aku janji atau anugerah boleh dibuat dalam tempoh kerajaan sementara, selain mendakwa mendapat maklumat bahawa projek itu dalam proses untuk diluluskan dalam tempoh dua minggu.
Bagaimanapun, Tuan Ibrahim menegaskan beliau tidak pernah meluluskan sebarang projek di bawah kementerian itu sejak Parlimen dibubarkan.
Beliau turut mencabar Rafizi supaya membuat laporan kepada SPRM berhubung tuduhan kelulusan projek oleh KASA. – Malaysiapost