Tengku Zafrul pilih BN sebab tradisi membela rakyat – Reezal Merican

Tengku Zafrul pilih BN sebab tradisi membela rakyat – Reezal Merican

KAWASAN Parlimen Kuala Selangor ditandingi calon Barisan Nasional (BN) yang bukan calang-calang orangnya iaitu Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang banyak jasanya pada negara secara keseluruhan, kata Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta calon BN Parlimen Kepala Batas, berkata pencalonan Tengku Zafrul telah memberi tenaga dan getaran baru kepada rakyat di Kuala Selangor.

“Saya dapat lihat sambutan penduduk Kuala Selangor amat baik. Namun, saya dan Tengku Zafrul kekal istiqamah dan tawaduk, kami bukan sekadar ingin mengambil tempat memegang kuasa tetapi lebih daripada itu untuk memegang tanggungjawab dan amanah membela rakayat kerana itu merupakan tradisi BN

“Alasan Tengku Zafrul memilih untuk mewakili BN adalah dia teruja dengan tradisi BN yang membela rakyat,” katanya ketika ditemui di Majlis Kenduri Rakyat bersama Tengku Zafrul di Bukit Cherakah, hari ini.

Beliau berkata, dengan adanya Tengku Zafrul di Parlimen Kuala Selangor kelak, beliau yakin bekas Menteri Kewangan itu akan berada dalam Kabinet lagi, sekaligus akan banyak membantu pembangunan di Kuala Selangor.

Reezal Merican hari ini membantu berkempen bersama Tengku Zafrul di sekitar Kuala Selangor membabitkan kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bukit Cherakah, PDM Bukit Kuching dan PDM Parit Mahang.

Sementara itu, penyandang Parlimen Kuala Batas itu juga dijadualkan membantu kempen calon BN Parlimen Sungai Buloh Khairy Jamaluddin malam ini.

Beliau dijangka hadir ke Program Dialoq Kepimpinan Masyarakat Setempat dirasmikan Menteri Kesihatan berkenaan di Restoran Chenmak Subang 2, Bandar Pinggiran Subang. – Malaysiapost

Komen