Tiga pemimpin utama Johor sokong Ismail Sabri Perdana Menteri jika BN menang
TIGA pemimpin utama Johor menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri sekiranya Barisan Nasional (BN) menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Mereka ialah Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Ir Hasni Mohammad dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Ka Siong berkata sokongan MCA tidak berubah dan sokongan adalah tanda kepercayaan parti bahawa Ismail Sabri mampu menggerakkan negara ke mercu kejayaan lebih gemilang pada masa akan datang.
“Sebelum ini, apabila Majlis Tertinggi Umno mencadangkan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri, MCA sokong cadangan itu.
“Datuk Seri Ismail Sabri bukan hanya menjadi Perdana Menteri yang ke-9 malah, beliau akan terus diangkat sebagai Perdana Menteri yang ke-10 nanti,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.
Sementara itu, Hasni yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor turut menyatakan bahawa seluruh kepimpinan bahagian di negeri itu terus menyokong tanpa berbelah bahagi kepada Ismail Sabri untuk diangkat sebagai Perdana Menteri.
Katanya, sokongan itu dinyatakan dalam Persidangan Umno Bahagian masing-masing sebelum ini.
Onn Hafiz pula senada dengan dua pemimpin berpengalaman itu turut menyatakan sokongan padu kepada Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri
Malah, kata Onn Hafiz, Ismail Sabri telah menyalurkan pelbagai peruntukan kepada Johor semasa beliau menerajui negara.- Malaysiapost