Anwar, Rafizi perlu jawab isu persefahaman

Anwar, Rafizi perlu jawab isu persefahaman

PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Rafizi Ramli perlu menjawab isu dibangkitkan terlebih dahulu sebelum mendakwa mereka tiada masalah persefahaman, kata Bendahari Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata, banyak perkara tidak dijawab Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, termasuk membabitkan keputusan tidak mencalonkan penyandang kerusi Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa.

“Macam mana tak berlaku, dia (Anwar) belum jawab lagi dari segi 80 kerusi yang Rafizi kata parti dia akan menang, dia (Anwar) kata 100.

“Baru-baru ini, Rafizi kata dia akan menang 15 kerusi (parlimen) di Johor, saya tak dengar pula jawapan Anwar dan sebelum ini Rafizi kata Sivarasa paling layak untuk bertahan kerusi di Sungai Buloh, Anwar tak setuju.

“Sebelum ini kita tengok Anwar kata Tian Chua perlu dipecat, Rafizi tak setuju, jadi apa yang diaorang kata ini ada persefahaman antara mereka berdua, jawablah isu tiga empat itu,” katanya ketika ditemui media di Kuantan, petang tadi.

Terdahulu, Hishammuddin meluangkan masa bersama calon BN bagi kerusi parlimen Kuantan, Abdul Hamid Nazahar dan calon kerusi dewan undangan negeri (DUN) Teruntum, Tanjung Lumpur dan Inderapura.

Isnin lalu, Hishammuddin dilapor berkata, pemimpin tertinggi PKR itu perlu mencari kata sepakat terlebih dahulu sebelum membuat unjuran kerusi bakal dimenangi mereka dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Katanya, perbezaan jangkaan dibuat Anwar dan Rafizi membayangkan wujud suasana tanpa persefahaman antara mereka berdua.

Rafizi pada Selasa dalam program Sembang Santai di Tebrau, Johor menafikan dakwaan Hishammuddin itu.

“Saya dari awal konsisten kata buat masa sekarang iaitu hari keempat berkempen, kita sebenarnya sudah berada dalam keadaan baik dan boleh menang 80 kerusi.

“Tetapi dalam dua minggu akan datang, jika kempen dijalankan lebih baik lebih, lebih ramai orang kita jumpa, kita boleh menang sampai 90 ke 100 kerusi. Jadi betullah Anwar kata kita (PH) boleh menang 100 kerusi,” kata Rafizi.

Semalam, Anwar turut menafikan dakwaan itu dan memaklumkan perbezaan pandangan mengenai jangkaan kerusi boleh dimenangi PH tidak bermaksud berlaku perselisihan dalam kepimpinan tertinggi parti itu.

Kata Anwar, perbezaan itu hanyalah untuk melonjakkan semangat ahli parti untuk bekerja lebih keras. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook Anwar Ibrahim

Komen