Banjir: 187 penduduk Kampung Johan Setia dipindahkan ke PPS
SERAMAI 187 penduduk sekitar Kampung Johan Setia, Klang, termasuk 46 kanak-kanak ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) akibat banjir semalam.
Menurut data Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat jam 9 pagi tadi, sebanyak 43 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Johan Setia.
Mereka terdiri daripada 73 lelaki dan 68 wanita serta 23 kanak-kanak lelaki. Selain, 22 kanak-kanak perempuan dan seorang bayi lelaki.
Malam tadi, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor , Norazam Khamis memaklumkan kira-kira 200 rumah di Kampung Johan Setia terjejas akibat kejadian banjir kilat sekitar jam 6 petang semalam.
Beliau berkata, paras air di beberapa tempat di kawasan berkenaan mencecah sehingga lebih setengah meter susulan hujan lebat pada sebelah petang, namun banjir beransur surut beberapa jam kemudian.
Bagaimanapun, katanya operasi pemindahan mangsa diteruskan dengan seramai 30 mangsa dari lapan rumah dipindahkan ke PPS di SK Johan Setia. – Malaysiapost