Bayaran BKM Fasa 4 dipercepat, disalur bermula 15 November

Bayaran BKM Fasa 4 dipercepat, disalur bermula 15 November

BANTUAN Keluarga Malaysia (BKM) Fasa 4 akan dikreditkan ke dalam akaun bank penerima secara berperingkat bermula 15 November ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia dijangka selesai pada 18 November ini.

Menurutnya, pembayaran yang bernilai RM2.1 bilion itu akan memanfaatkan 5.2 juta penerima terdiri daripada penerima sedia ada kategori isi rumah dan warga emas bujang/tiada pasangan.

“Secara keseluruhannya, RM8 bilion telah diperuntukkan untuk BKM yang memanfaatkan 8.7 juta penerima bagi tahun 2022.

“Untuk BKM Fasa 4, setiap penerima bakal menerima sehingga RM900 mengikut kategori kelayakan masing-masing.

“Pembayaran ini merupakan bayaran akhir baki nilai yang sepatutnya diterima pada tahun ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Perdana Menteri berkata keputusan mempercepatkan pembayaran BKM Fasa 4 daripada Disember kepada November 2022 adalah bagi membantu penerima untuk menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula pertengahan bulan ini.

“Semakan status pembayaran boleh dibuat mulai 15 November dan maklumat lanjut berkaitan pembayaran ini boleh dirujuk Soalan Lazim (FAQ) di Portal Rasmi BKM melalui pautan https://okm.hasil.gov.my,” katanya. – Malaysiapost

Komen