BN Kelantan yakin capai sasaran menang 9 kerusi
BARISAN Nasional (BN) Kelantan optimis mampu mencapai sasaran memenangi sembilan kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)
Malah kata Pengerusi Badan Perhubungan BN Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, pihaknya sedang mengenal pasti dua lagi kerusi Parlimen yang dilihat mampu memihak kepada BN.
Bagi mencapai hasrat itu katanya, gerak kerja oleh jentera parti terus dipergiatkan.
“Saya merayu kepada penduduk Kelantan supaya keluar menunaikan tanggungjawab mengundi dan memilih calon BN,” katanya pada sidang media di Kota Bharu hari ini.
Ahmad Jazlan berkata BN Kelantan kini dalam ‘mood’ terbaik ketika kempen memasuki hari keenam menjelang PRU15 pada 19 November ini.
“Alhamdulillah momentum kita setakat hari ini dianggap dalam mood terbaik. Malah, ada penyokong PAS memaklumkan kepada jentera kita kesudian mereka untuk memberi sokongan kepada BN.
“Kebanyakan mereka adalah penyokong tegar Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan tindakan mereka yang dilihat beralih arah itu mungkin disebabkan anak Tok Guru tidak dicalonkan pada PRU15, seolah-olah PAS mahu memadamkan legasi Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz.
“Bagaimanapun, isu bekas ahli Parlimen Bachok, Nik Mohd Abduh tidak dicalonkan itu memberi impak besar kepada BN kerana penyokong tegar Tok Guru akan beralih kepada kita,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Jazlan mengadakan pertemuan dengan calon BN bagi mendengar maklum balas terkini di kawasan Parlimen masing-masing. – Malaysiapost