‘Bukan hamil, cuma berat badan saya bertambah’ – BCL
GARA-GARA foto menampakkan perutnya yang buncit tular di media sosial, penyanyi popular Indonesia Bunga Citra Lestari atau BCL mengakui sedih kerana dipersenda selain didakwa hamil.
Jelas BCL, dia tidak hamil seperti didakwa, sebaliknya perubahan pada susuk tubuhnya berlaku disebabkan berat badannya bertambah.
“Sebagai wanita yang pernah melahirkan anak, perut saya tidak kempis. Kebetulan gambar itu dirakam pada sisi yang menampakkan perut saya buncit.
“Saya juga manusia normal yang suka makan pada waktu tengah malam. Jadi, tidak hairan kalau berat badan saya bertambah.
“Cuma, saya sedih apabila ada pihak yang mempersenda perubahan itu. Saya manusia biasa dan tidak sempurna. Tapi, tidak mengapa kerana bukan semua orang faham perkara itu,” katanya.
BCL mengakui, dia sebenarnya gembira dengan bentuk badannya sekarang yang kelihatan lebih sihat berbanding sebelum ini.
“Tiga tahun lepas, berat badan saya merosot walaupun saya makan dalam kuantiti yang banyak.
“Sekarang, saya gembira apabila berat badan akhirnya bertambah. Saya berharap orang melihat dari perspektif itu, tetapi sebaliknya pula berlaku.
“Saya hanya mahu kelihatan sihat dan gembira. Saya terima apa yang telah diberikan dan kalau lapar, saya makan. Itu normal,” katanya.
Baru-baru ini, hangat diperkatakan apabila tular video BCL menampakkan perutnya agak buncit.
Menerusi video tular itu, BCL dilihat mengenakan baju T-shirt putih pendek dipadankan dengan seluar ‘legging’ mencetuskan spekulasi ramai.
Difahamkan, video tersebut dirakam ketika BCL sedang menjalani sesi latihan sebuah konsert yang berlangsung di Medan, Sumatera.
Video tersebut menjadi bualan ramai malah ada yang memetik nama penyanyi Ariel NOAH serta mendakwa BCL hamil anak penyanyi itu. – Malaysiapost