DAP minta SPR, polis batal peraturan mohon permit untuk walkabout
DAP meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membatalkan peraturan baharu untuk permit walkabout sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Pengarah Pilihan Raya DAP Kebangsaan Liew Chin Tong berkata peraturan yang tiba-tiba dilaksanakan itu adalah tidak berasas kerana ia tidak pernah ada dalam apa-apa peraturan pilihan raya.
“Sebahagian daripada calon Pakatan Harapan telah diminta untuk memohon permit untuk aktiviti walkabout sepanjang tempoh kempen.
“Peraturan ini bukan sahaja menyukarkan calon-calon bertemu para pengundi serta menjejaskan kelancaran kempen, ia juga membebankan pegawai serta kakitangan SPR dan PDRM dengan penambahan karenah birokrasi,” katanya menerusi kenyataan.
Chin Tong berkata SPR dan PDRM perlu lebih komited untuk menambah baik peraturan kempen dalam PRU-15 dan bukannya membebankan semua pihak.
“Sebagai langkah proaktif, SPR dan PDRM perlu membatalkan segera peraturan memohon permit walkabout dalam kempen PRU-15 bagi memudah dan mempercepatkan usaha calon bertemu dengan pengundi,” katanya.-Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook Liew Chin Tong