Dasar ‘Cash is King’ sebabkan negara bermasalah – Tun M
TUN Dr Mahathir Mohamad mendakwa Malaysia negara bermasalah disebabkan dasar ‘Cash is King’ yang dilaksana oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini.
Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) itu turut mendakwa Najib akan memimpin semula Umno, sekali gus dilantik sebagai Perdana Menteri sekiranya diberikan pengampunan.
“Sebuah Malaysia akan ditadbir oleh bekas-bekas perasuah, pencuri, penyalah guna kuasa.
“Fikirlah jika Kerajaan Malaysia terdiri daripada penjenayah kleptokrat, apa akan jadi kepada negara?,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Dr Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri sebanyak dua kali berkata, jika dibiarkan golongan itu memimpin, maka akan lebih hancurlah Malaysia.
Sementara itu, Dr Mahathir mengucapkan terima kasih kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menerima cadangan melarang membawa telefon bimbit ketika mengundi.
“Ini satu cara elak parti menyogok selepas buang undi dan pertahan prinsip undi adalah rahsia,” katanya.
SPR menetapkan 19 November ini sebagai tarikh mengundi bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). – Malaysiapost