Gelombang sokongan terhadap Anwar beri kelebihan pada PH – Mujahid
PAKATAN Harapan (PH) Perak yakin gelombang sokongan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim di negeri itu memberi kelebihan untuk merampas kembali pentadbiran Perak.
Pengerusi PH Perak, Datuk Seri Mujahid Yusof berkata tinjauan rambang di lapangan menunjukkan Anwar membawa pengaruh besar di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) serta Parlimen negeri itu.
Katanya, ia sekali gus meyakinkan mereka untuk memenangi 40 kerusi DUN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Saya yakin kehadiran Anwar di Perak telah membawa satu gelombang baik di peringkat Parlimen mahupun DUN.
“Melihat kebangkitan dan sokongan itu serta tinjauan rambang yang kita buat, kita yakin 40 kerusi kita boleh menang,” katanya memetik laporan portal FMT.
Sementara itu Mujahid yang juga Naib Presiden Amanah mendakwa, sasaran parti itu memenangi 25 hingga 30 kerusi Parlimen pada PRU15 mampu dicapai berdasarkan kebangkitan rakyat yang menolak Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).
“Kita (Amanah) menang 11 kerusi (Parlimen pada PRU14), jadi kita akan pastikan ia kekal menang dan sasaran kita untuk menang 25 hingga 30 kerusi itu bukan perkara mustahil,” katanya.
Pada PRU15 ini, Amanah bertanding 54 kerusi Parlimen berbanding 27 kerusi ditandinginya pada PRU14. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook Dr Mujahid Yusof Rawa