GTA enggan berjanji bulan dan bintang

GTA enggan berjanji bulan dan bintang

GERAKAN Tanah Air (GTA) berpegang kepada lima prinsip utama sekiranya diberi peluang membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata GTA mengambil daripada pengalaman lepas bagi memastikan apa yang dijanjikan untuk PRU-15 berjaya terlaksana dan enggan berjanji bulan dan bintang.

“Atas kesedaran ini maka kami daripada GTA yang bertanding atas logo Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dengan ini memberi satu komitmen jika kami berjaya menubuh kerajaan, kami akan menubuhkan sebuah kerajaan yang berwibawa dan bertanggungjawab.

“Kami akan tubuh sebuah kerajaan yang bebas daripada rasuah, berpegang kepada prinsip bersih, cekap dan amanah sebagai teras kepada semua lapisan pentadbiran. Memastikan kerajaan yang ditubuh akan menebus kedudukan ekonomi Malaysia serta kembali menjadi ‘harimau Asia’.

“Terakhir, kami akan memastikan kerajaan yang berprinsip, berintegriti dan mempertahankan kedaulatan undang-undang. Kami percaya jika kerajaan yang ditubuh berpegang kepada prinsip-prinsip tersebut, kebajikan serta kesejahteraan rakyat akan dapat dipenuhi,” katanya di Facebook.

Mahathir berkata sekiranya GTA berjaya membentuk kerajaan, rakyat daripada setiap lapisan masyarakat akan mendapat keadilan sewajarnya dan tiada akan ada kumpulan kayangan yang diberi keistimewaan.

“Kebebasan rakyat sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan akan dihormati sepenuhnya. Ini bermakna hak bukan Melayu dan bukan bumiputera seperti yang termaktub di dalam perlembagaan akan dipertahankan.

“Inilah janji kami dan janji ini mampu dan pasti kami penuhi jika diberi peluang mendirikan kerajaan. Strategi terperinci untuk mencapai matlamat serta tujuan kami akan diedarkan selepas pengumuman ini,” katanya.

Berikut adalah janji GTA untuk PRU15:

1 Bangsa Wibawa
Pemimpin dan rakyat yang bersih daripada korupsi, politik wang, penyalahgunaan kuasa, diganti kepemimpinan bersih, cekap dan kredibel.

2 Banga Makmur
Pekerjaan dan pendapatan yang menjamin kehidupan sejahtera. Ekosistem ekonomi dan industri perlu diperbaiki serta diperkasa.

3 Bangsa Berdaulat
Jaminan kesihatan, pendidikan, jaringan keselamatan, kebajikan, sekuriti beserta keselamatan, keterjaminan dan kedaulatan daripada pelbagai aspek.

4 Bangsa Bertamadun
Memfokuskan pendidikan bagi mencapai potensi pelajar yang sebenar, membangun manusia dengan nilai hidup dan patriotisme.

5 Negara Moden
Pemodenan pelbagai sektor negara bagi menyesuaikan dengan kehendak ekonomi baharu dan kehendak kesejahteraan masyarakat.

6 Negara Sejahtera
Jaringan sosial dan keselamatan rakyat dapat diperkukuhkan terutama kepada kumpulan miskin dan rentan, terpencil, kelainan upaya dan keluarga tunggal.

7 Negara Lestari
Masa depan yang lebih baik dengan memastikan polisi kelestarian dalam pengurusan alam sekitar baik, konservasi biodiversiti dan adaptasi perubahan iklim menjadi fundamental. – Malaysiapost

Komen