Ikmal Hisham pejuang pembinaan rumah PPR, mahu lebih ramai rakyat Tanah Merah miliki kediaman
CALON Perikatan Nasional (PN) Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz mahu membina rumah bagi penduduk daerah itu yang tidak mempunyai kediaman menerusi Program Perumahan Rakyat (PPR).
Ikmal Hisham berkata sudah menjadi hasrat beliau memperjuangkan perkara berkenaan berikutan ramai penduduk di daerah itu dan khususnya di Kelantan memerlukan rumah.

“Saya tahu di Kelantan ini, rakyat memerlukan rumah dan antara projek perumahan yang ingin saya usulkan kepada (kerajaan) adalah projek PPR yang kini telah pun ada 400 unit rumah di Gual Ipoh.
“Namun, masih ramai lagi yang memerlukan rumah. Jadi tempoh hari (kerajaan) telah meluluskan antara 800 hingga 1,000 unit rumah PPR untuk dibangunkan, tetapi disebabkan isu masalah tanah, kelulusan itu ditarik balik.
“Itulah perjuangan saya yang akan datang. Apabila hubungan Kerajaan Pusat dengan kerajaan negeri mempunyai hubungan dan di bawah kompenan yang sama, ini memudahkan saya dan isu masalah tanah akan diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program bersama penduduk di Persatuan Kebajikan Pengurusan Kafa (PERKAFA) Kampung Paloh, Tanah Merah, hari ini.
Ikmal Hisham berkata, jika kerajaan negeri dan pusat berbeza ia menyukarkan pembinaan rumah PPR.
“Saya akan ikhtiarkan pembangunan dan pastikan bantuan yang dapat (dari Kerajaan Persekutuan) saya akan turunkan ke Tanah Merah.
“Justeru, saya akan pastikan projek perumahan ini akan dilaksanakan kepada penduduk di daerah ini demi kesejahteraan penduduk,” katanya. – Malaysiapost