Ismail Sabri arah semua agensi bantu Keluarga Malaysia yang ditimpa musibah banjir
PERDANA Menteri mengarahkan semua agensi termasuk Jabatan Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberi perhatian sepenuhnya kepada usaha membantu Keluarga Malaysia yang ditimpa musibah banjir.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) ke lokasi terjejas banjir bagi memindahkan mangsa.
“Saya menerima laporan beberapa kawasan di Selangor dinaiki air sejak semalam. Pastikan operasi menyelamat mangsa berjalan dengan lancar, stok makanan dan pengangkutan telah bersedia sepenuhnya.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dengan bencana yang berlaku dan mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan oleh agensi keselamatan,” katanya di Facebook.
Ismail Sabri turut menasihati orang ramai supaya peka dengan amaran cuaca buruk yang dikeluarkan oleh Jabatan Metereologi Malaysia bagi membuat persediaan awal.
“Sama-sama kita berdoa agar bencana alam ini segera pulih dan mangsa dapat pulang ke kediaman masing-masing dengan selamat,” katanya.
Setakat 9 malam ini, tiga pusat pemindahan sementara dibuka di Selangor termasuk di Sekolah Kebangsaan Johan Setia, Klang yang menempatkan 147 mangsa. – Malaysiapost